• Laman Utama
  • Thursday 18 April 2013

    Si Tanggang Moden




    Al-kisah

    "Ada jugak orang cam gini" berang Ahmad, "macam mana?", Idham bertanya, "semakin kaya semakin lupa kepada orang tua, pangkat besar, gaji besar, rumah besar, tapi sekupang habuk pun tak boleh nak bagi duit saraan dekat mak ayah"jawab Khairil. Idham terus menatap akhbar yang dibaca oleh Ahmad untuk memahami dan melanjuti kisah sebenarnya
    "Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Rosdi Harun turut mengarahkan Nasrun Mustafa, 38, yang kini bekerja di Bintulu, Sarawak, sebagai pengurus operasi sebuah syarikat cari gali minyak berpangkalan di Kuala Lumpur membayar tuntutan sebanyak RM400 sebulan terhadap kedua ibu bapanya serta RM400 sebulan setiap seorang terhadap dua anaknya, Mohd Amirul Nasrun, 17, dan Nur Thahirah Nasrun, 15.

    Dia yang berpendapatan RM18,000 sebulan itu turut diarahkan membayar sebanyak RM1,000 setiap seorang anak dalam tempoh dua minggu setiap kali menyambut Aidilfitri sebagai persiapan". Idham dan Ahmad Selesai membaca akhbar harian tersebut.

    Semakin kronik

    Satu kajian Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2010, mendapati dengan bilangan warga emas (60 tahun ke atas) bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah. Kajian Keperluan Sokongan Emosional Dalam Kalangan Anak Dewasa Yang Menjaga Warga Tua yang diterajui ketua penyelidik, Prof Dr Rahim M Sail, turut meramalkan lebih banyak rumah penjagaan orang tua akan tumbuh di negara ini dalam tempoh 10 tahun lagi baik yang dikendalikan kerajaan mahu pun swasta. Ini didorong sikap anak-anak muda zaman moden yang memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah penjagaan warga emas.

    Antara puncanya - masalah kewangan anak-anak menyebabkan mereka mengambil langkah mudah dengan menjadikan ibu bapa sebagai 'korban' pengawalan perbelanjaan keluarga masing-masing. Itu alasan kewangan, tetapi bagaimana pula dengan alasan penularan masalah kepincangan masyarakat hari ini apabila hubungan kekeluargaan menjadi renggang? Tidak kurang yang mengaitkan kewujudan Si Tanggang Moden itu sebagai hukum karma - apabila ayah atau ibu mengabaikan anak sewaktu muda menjadikan hubungan kekeluargaan hambar dan suram, sehinggalah apabila mereka tua. Bolehkah alasan itu diterima? Perlukah setiap perbuatan dibalas dan diterima sebagai satu rutin atau norma kehidupan?

    Tidak lama dulu, ada gesaan supaya satu akta khas diwujudkan bagi melindungi kepentingan dan kebajikan ibu bapa berikutan segelintir mereka yang sudah berkerjaya mengabaikan ibu bapa masing-masing. Ini berikutan pihak Biro Pengaduan Awam BPA menerima banyak aduan diterima daripada ibu bapa terutama warga emas yang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menampung kehidupan mereka selepas diabaikan anak, termasuk anak yang berkerjaya baik dan stabil. Akta itu antara lainnya, mahu mewajibkan anak berumur 21 tahun ke atas yang sudah bekerja, membayar nafkah kepada ibu bapa mereka sehingga meninggal dunia sebagai salah satu cara meringankan beban. Usul itu disambut pelbagai reaksi termasuk kalangan pakar motivasi yang beranggapan ia seharusnya dijadikan pilihan terakhir dan usaha sepatutnya ditumpukan kepada langkah mengakrabkan keluarga.

    Peringatan dari Nabi S.A.W

    Sebagai peringatan kepada kita semua yang bergelar anak, saya datangkan beberapa petikan hadis Nabi Sallahu Alaihi Wasallam,
     
    Dari Abu Bakrah meriwayatkan bahawa Rasulullah Nabi Sallahu Alaihi Wasallam bersabda :

    Maksudnya : "Mahukah aku jelaskan kepada kamu semua tentang dosa yang sangat besar?". Beliau berkata : "Syirik kepada Allah dan derhaka kepada ibu bapa" .
    ( Riwayat Bukhari )

    Dalam hadith lain diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah pernah menyatakan di antara golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah pada hari kiamat kelak dan tidak masuk syurga ialah mereka yang menderhakai ibu bapanya.
    ( Hadith Hasan Sahih ).

    No comments:

    Post a Comment