• Laman Utama
  • Friday 22 March 2013

    BILAKAH AKAN BERAKHIR KEZALIMAN REGIM BASYAR ALASAD??



    Semalam pada tanggal 21/03/2013 umat Islam dikejutkan dengan kematian ulamak masyhur, Dr Said Ramadhan Al-Buthi. Beliau telah terbunuh dalam siri serangan berani mati di masjid Eman, Damsyik yang dipercayai didalangi oleh rejim Basyar sekalipun beliau di dakwa ulama Kerajaan Basyar. Kematian beliau sangat meninggalkan kesan kepada hati umat Islam, kerana tulisan dan pandangan beliau mejadi rujukan kepada Umat Islam seluruh dunia. Sehingga kini, beliau telah menulis tidak kurang dari 40 buku dalam bidang kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan. Kecerdasan inteleknya terserlah di dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan ‘Royal Society of The Islamic Civilisation Researches’ yang berpusat di Amman, Jordan. Di Antara buku beliau yang terkenal adalah Fiqh Sirah yang menjadi rujukan di seluruh dunia.

    Sidang Jemaah yang dirahmati Allah.

    Konflik di Syria pernah berlaku sejak pemerintahan Hafez al-asad yang berfahaman Syiah pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, yang telah mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

    Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

    Setakat direkodkan pada hari ini, fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.

    Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.

    Satu kisah, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.

    Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
    Sebahagian masyarakat antarabangsa, menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.

    “Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”

    Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.

    Dr Ali As-Sobuni telah berfatwa mengatakan bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:

    “Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).

    Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.

    Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN YG ZALIM”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.

    Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:

    "Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”

    Dari situlah bermulanya kebangkitan rakyat yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur sehingga ke hari ini.

    Ada yang mengatakan, sebelum bebapa hari kematian Dr Said Ramadhan al-Buthi sering kali mendoakan kehancuran regim yang berfahaman Syah Nusairiyah. Akhirnya beliau syahid Insyaallah.

    Apabila kita menyingkap siri kekejaman regim Basyar al-Assad, maka kita boleh mengambil beberapa pengajaran:
    1. Apabila dalam sesebuah Negara, wujudnya pemimpin yang zalim, menindas rakyat, melakukan penyelewengan, di sana akan wujud satu ummah/jemaah yang akan mempertahankan agama Allah dan ajaran rasul sehingga ke akhir.

    2. Bahayanya ajaran Syiah, yang menghalalkan darah ahl as sunnah wa al jamaah. Ini boleh didapati dari ucapan ayatollah mereka dan buku tulisan mereka.

    3. Berhati-hati dengan gerakan syiah pada hari ini, yang berusaha untuk meguasai dunia melalui kuasa politik, media, ekonomi, ketenteraan. Usaha yang paling dahsyat untuk melihat ASWJ terus ditindas, di atas dendam kesumat mereka.

    4. Berwaspada dari fahaman yang memudahkan mengkafirkan seseorang lalu terlalu mudah mengeluarkan seseorang dari ahl as-sunah wal jamaah . rentetan dari itu keluar fatwa-fatwa yg songsang seperti tidak boleh berkahwin dengan keluarga mereka, tidak boleh makan di majlis keraian, dan idak dibenarkan bersembahyang di belakang mereka.

    5. Justeru, kembalilah kita kepada ajaran al-quran dan as-sunaah nabi S.A.W yang membawa asas kesejagatan, membawa kesejahteraan kepada semua masyarakat dan dan dasar wilayah berkebajikan kepada semua lapisan rakyat.

    6. Umat Islam tidak akan mencapai kemenangan yang besar melainkan kita wehdah al ummah, wehdah al-fikr iaitulah berpaksikan kepada Allah dan ar-rasul bukan idealism dan ideology yang lain.

    7. Jika itu berlaku, kita akan mencapai kejayaan sepertimana yang pernah digilap oleh salaf as-Soleh. Akhirnya kezaliman akan tekubur jua.

    -IMAM MUDA JABAR-



    2 comments:

    1. Innalillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun..fiqh sirah Dr said Ramadhan Al-Buthi best!! Binasa lah rejim Basyar dan sekutuny!!!

      ReplyDelete
    2. This comment has been removed by the author.

      ReplyDelete